EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim merasmikan Rangkaian Digital SMARTSEL Node1 di Kolej Antarabangsa INPENS, Kuala Selangor. – Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

SMARTSEL lancar Node1, tawar jalur lebar tinggi

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 30 OGOS: SMARTSEL Sdn Bhd (SMARTSEL) anak syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) melancarkan Rangkaian Digital SMARTSEL Node1 di Kuala Selangor dan Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS), hari ini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, perkhidmatan keterhubungan itu menawarkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi membabitkan 50 titik capaian (access point) yang mampu mencapai 100 megabite sesaat (100mbps).

Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja dapat dimanfaatkan pelajar dan kakitangan INPENS, malah pemain industri juga syarikat telekomunikasi.

“Kuala Selangor menjadi daerah kedua selepas pelancaran rangkaian ke terhubungan pertama Node0 di Shah Alam dengan Gerbang IP Transit Antarabangsa yang memberikan perkhidmatan rangkaian internet kepada beberapa syarikat berkaitan kerajaan.

“Node1 dibangunkan di INPENS yang akan membolehkan institusi ini menggunakan teknologi digital terkini dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar semasa pembelajaran mereka.

“Ini adalah pencapaian utama bagi Kerajaan Negeri untuk memberikan capaian hubungan berkelajuan tinggi ke kawasan luar bandar dan kurang liputan,” katanya selepas melancarkan Node1, di INPENS, di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengarah Urusan SMARTSEL, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir.

Turut hadir EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian.

Ir Izham Hashim (dua dari kiri) ditemani Hee Loy Sian melawat bengkel automotif selepas Majlis Perasmian Rangkaian Digital SMARTSEL Node1 di Kolej Antarabangsa INPENS, Kuala Selangor. – Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ir Izham berkata, Kerajaan Negeri percaya dengan kemudahan yang disediakan membuka lebih banyak peluang kerjasama teknologi industri, sekali gus memacu lebih banyak inovasi serta program penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Tambahan pula, industri sekitar di Kuala Selangor seperti pihak berkuasa tempatan, pelancongan, pertanian, perlombongan, perikanan, perniagaan kecil dan penduduk akan mendapat manfaat daripada sambungan internet berkelajuan tinggi,” katanya.

Baru-baru ini, SMARTSEL mendapat kepercayaan dan diberi lesen individu sebagai Pemberi Kemudahan Rangkaian ataupun, NFP (Network Facilities Provider) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian, NSP (Network Service Provider) daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).


Pengarang :