AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sokong caruman KWSP, Perkeso demi kebajikan penggiat seni

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Kebajikan para karyawan serta penggiat seni negara akan lebih terjamin dengan pelaksanaan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta), Dr Mahadi J Murat berkata, pihaknya amat mengalu-alukan pengumuman yang dibuat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkenaan caruman itu yang bakal dikuatkuasakan mulai tahun hadapan.

“Dengan terlaksananya skim tersebut, satu bentuk perlindungan serta faedah kebajikan dalam kalangan artis, karyawan dan pekerja filem dapat dipastikan terutamanya ketika di usia lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac pada 26 Ogos lalu mengumumkan pihaknya sudah mencapai persetujuan dengan KWSP dan Perkeso untuk pelaksanaan caruman tersebut bagi para penggiat seni.

Selaras dengan itu Mahadi berkata, satu kaedah yang tidak membebankan penerbit serta mengurangkan pendapatan tunai golongan tersebut hendaklah dicari supaya matlamat pelaksanaan caruman berkenaan akan lebih berkesaan.

Selain itu, beliau berharap agar Finas juga dapat menggariskan dasar dan matlamat baharu industri seni khususnya demi menjayakan matlamat pembangunan filem nasional dalam gagasan Malaysia baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.

– BERNAMA


Pengarang :