AGENDA NASIONAL

SPRM tolak tawaran RM50,000 UMNO Bahagian Pekan dalam kes lucut hak harta

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menolak tawaran oleh seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan untuk membayar RM50,000 untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah berhubung kes tuntutan melucutkan hak harta.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa tawaran itu dibuat melalui surat representasi oleh Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ibrahim Awang Ismail, bulan lalu.

“Surat tawaran bertarikh 17 Julai untuk membayar 50 peratus daripada jumlah RM100,000 yang dituntut kerajaan telah ditolak. Saya difahamkan peguam responden akan mengemukakan representasi baharu bagi penyelesaian,” katanya dalam sebutan kes di sini, hari ini.

Pada Jun lalu, SPRM memfailkan permohonan melucuthak sivil di bawah Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam, Nur Shafiqa Balqish Jafri, yang mewakili Ibrahim, berkata pihaknya akan mengemukakan permohonan respresentasi baharu untuk membatalkan tuntutan kerajaan bagi melucut hak harta itu.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan 23 Ogos ini bagi semua pihak memaklumkan perkembangan terkini mengenai permohonan representasi itu. – BERNAMA


Pengarang :