Asisten Komisioner Imran Abd Rahma pada sesi Dialog Bajet Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 27 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Statistik jenayah Selangor menurun 11.16 peratus

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kejadian jenayah di Selangor pada 1 Januari hingga 31 Julai lalu berkurangan 1,443 kes atau 11.16 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, sebanyak 11,482 kejadian jenayah direkodkan dalam tempoh berkaitan berbanding 12,925 kes pada tahun lalu.

Beliau berkata demikian pada Program Dialog Bajet 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Perbandingan Indeks Jenayah dibentangkan Imran membabitkan beberapa kategori seperti jenayah kekerasan sebanyak 2,540 kes direkodkan pada tahun ini berbanding 2,913 kes iaitu berkurangan 373 kes atau 12.8 peratus.

Kes jenayah kekerasan adalah bunuh, rogol, samun tanpa senjata api, samun bersenjata api (berkawan/tanpa berkawan) dan mencederakan.

Jenayah harta benda turut menunjukkan penurunan 1,070 kes daripada 10,012 kes pada tahun lalu kepada 8,942 kes (10.69 peratus) tahun ini.

Jenayah harta benda membabitkan kes curi motokar, motosikal, van, lori, jentera berat, curi ragut, pecah masuk serta curi.

Kes mencuri motosikal adalah jenayah tertinggi apabila 4,048 kes dicatatkan tahun lalu berbanding 3,158 kes (tahun ini).

Imran berkata, polis menjalankan pelbagai kaedah membanteras jenayah yang memberi kesan kepada penurunan kadar kejadian antaranya operasi bersepadu di lapan daerah yang mempunyai indeks jenayah tinggi dan mengadakan Ops Sarang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

“Kami juga menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, mewujudkan kolaborasi bersama rakyat melalui “Volunteer Smartphone Patrol (VSP)’ dan pelbagai pihak lain,” katanya.


Pengarang :