AGENDANASIONAL

Status PR tidak terlepas undang-undang negara

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Sesiapa yang menyentuh sensitiviti kaum sehingga mencetus ketidakstabilan negara tidak akan terlepas daripada undang-undang negara, termasuk mereka yang mendapat status Pemastautin Tetap (PR), kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sekiranya warganegara tertakluk kepada undang-undang, mereka yang berstatus PR lebih-lebih lagi perlu patuh kerana taraf PR dianggap sebagai satu anugerah.

“Dr Zakir Naik sama semua…ada masyarakat Islam nak pertahan dia, betul, dia seorang penceramah dan tokoh (Islam) tetapi kalau dia sentuh hal-hal tertentu macam sekarang, kita tak boleh biar juga. Kalau sebab itu tercetus keadaan ketidakstabilan kerana rasa tidak puas hati yang merebak meluas, adakah kita nak berdiam diri.

“Ada sempadan yang dia harus patuh, sama ada PR atau warganegara, dia tak terkecuali, tak mengatasi undang-undang yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Nilai Keagamaan dalam Mencegah dan Membalas Ekstremisme Keganasan (PCVE), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan polis terhadap penceramah bebas warganegara India, Zakir yang dilapor membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia ketika ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan.

Zakir sebelum ini telah dipanggil polis untuk memberi kenyataan sebanyak dua kali, masing-masing pada 16 dan 19 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, pendirian Malaysia mengenai Zakir kekal sepertimana kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menghantar pulang penceramah berkenaan ke negara asalnya sekiranya beliau tidak menimbulkan sebarang masalah.

Ditanya sekiranya ‘keputusan’ kerajaan sekarang akan menjejaskan siasatan polis ke atas Zakir, beliau berkata, siasatan yang polis sedang lakukan sekarang adalah berkaitan kes dalam negara, mengenai ucapannya berdasarkan laporan polis yang dibuat terhadapnya.

“Ia takkan jejaskan siasatan polis…,” tegas beliau.

“Bagaimanapun, kita juga mendapat pandangan daripada Perdana Menteri dan itu menjadi salah satu panduan kita sama ada wajar atau tidak beliau dihantar disebabkan tuntutan dari India itu. Itu hak kita, undang-undang tidak nyatakan bila satu-satu negara itu tuntut, kita mesti respons, kalau ada sebab-sebab tertentu kita rasa tak wajar, maka kita tak perlu respons kepada tuntutan mana-mana negara,” katanya.

Kerajaan India sebelum ini telah menyerahkan nota ekstradisi terhadap Zakir kerana beliau dihendaki di negara itu atas dakwaan pengubahan wang haram berjumlah lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta).

Ditanya mengenai perjumpaan antara lain, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan penceramah berkenaan, Muhyiddin berkata, bukan Syed Saddiq seorang yang bertemu Zakir, malah pihak pembangkang juga ada membuat pertemuan.

“Bagi saya tak apalah, itu tak bermakna kami terikat dengan pandangan mereka, kami bertindak berdasarkan kedaulatan undang-undang, undang-undang sedia ada jika ia sesuai, undang-undang itu diguna pakai,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :