ADNSELANGOR

Suee Lim nafi halang pindaan enakmen

SHAH ALAM, 8 OGOS: Spaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim menafikan perjalanan singkat sidang DNS yang berlangsung, baru-baru ini bagi menghalang pindaan enakmen negeri.

Pindaan enakmen itu merujuk kepada kebenaran penukaran agama Islam untuk secara sebelah pihak.

Suee Lim berkata, sebagai Speaker, beliau bertanggungjawab memastikan perjalanan sidang DNS berjalan lancar dan tertib mengikut Peraturan Tetap DUN Selangor 1965.

“Apabila urusan mesyuarat habis, maka saya perlu menangguhkan Dewan (Negeri Selangor) mengikut Perkara 15 (2).

“Dalam aturan mesyuarat juga tiada berhubung (pindaan) enekmen itu, jadi tiada isu. Saya sebagai Speaker DNS hanya mengikut peraturan dan urusan mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Pakatan Harapan Dwibulanan Kali Ketiga di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, penyertaan Ahli Dewan Negeri yang mengambil bahagian dalam mesyuarat berkenaan berkurangan menyebabkan urusan DNS berjalan laju.

Suee Lim berkata, tempoh sidang DNS yang singkat kali ini bukan isu baharu kerana perkara sama pernah berlaku pada 2016 dan 2017 di bawah kendalian Hannah Yeoh.

“Ada media salah faham seolah-olah kita sengaja pendekkan sidang DNS sedangkan sebelum ini mesyuarat pernah berlangsung hanya dalam tempoh dua hari.

“Masa itu tidak ada isu tetapi sekarang pula dibangkitkan,” katanya.


Pengarang :