BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor: Usah percaya fitnah gugat ketenteraman negara, kaum

SHAH ALAM, 31 OGOS : Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat supaya tidak mudah percaya dengan fitnah dan berita tidak sahih khususnya di media sosial yang cuba menggangu gugat keamanan negara serta hubungan sesama kaum.

Baginda bertitah, rakyat perlu mengamalkan sikap toleransi dan berusaha untuk saling memahami serta meraikan perbezaan adat, budaya juga agama supaya semuanya dapat hidup dalam suasana merdeka dalam erti kata sebenar.

“Beta amat berharap setiap rakyat mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengelak dari tercetusnya sebarang bentuk pertelagahan dan perpecahan berpunca daripada anasir negatif yang sengaja diprovokosi pihak tertentu serta mahu mencemar perpaduan dibina selama ini.

“Beta doakan semoga Malaysia sentiasa dirahmati dengan keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan,” titah baginda dalam kenyataan rasmi Perutusan Hari Kebangsaan ke-62 di laman Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Selain itu, baginda optimis sambutan Hari Kebangsaan disambut 31 Ogos setiap tahun akan terus menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat jelata sekali gus menyemai rasa cinta dan sayang kepada negara dalam jiwa semua kaum serta bangsa di Malaysia.

Baginda bertitah, semangat itu harus dizahirkan dalam bentuk perpaduan jitu dan keharmonian yang utuh, demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara serta kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

“Syukur kepada Allah, Malaysia hari ini menyambut Hari Kebangsaan untuk kali ke-62 tahun dalam suasana yang harmoni dan aman sentosa.

“Di kesempatan ini, Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-62 kepada seluruh rakyat Malaysia,” titahnya.


Pengarang :