AGENSISELANGOR

Sumpah Naim Daniel gegar SACC Mall petang ini

SHAH ALAM, 3 OGOS: Program Suria Jam X Cool Blog menjanjikan keseronokan buat peminat apabila bakal menampilkan penyanyi Naim Daniel, di Dataran Barat SACC Mall, di sini, jam 5 petang ini.

Selain pelantun lagu Sumpah, acara di bawah kelolaan Suria Jam melalui kerjasama SACC Mall dan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) itu turut digamatkan dengan persembahan selebriti tempatan, Harris Baba serta buskers Sang Hitam.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada orang ramai khususnya warga Shah Alam di samping berpeluang memenangi hadiah misteri.

“Orang ramai boleh berbelanja di sepanjang SACC Walk Flea Market yang menjual barangan terpakai, jualan makanan kendera saji (foodtruck) dan terdapat aktiviti untuk kanak-kanak beriadah seperti ‘sand art’ serta ‘giant bubble’.

“Kita menerima sambutan amat menggalakkan sebelum ini di SACC Walk Flea Market dan menjangkakan kali ini dengan adanya artis terkemuka tanah air akan menarik lebih ramai lagi pengunjung.

“Pelancong yang datang ke Selangor untuk singgah ke sini juga sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi di negeri ini khasnya,” katanya dalam kenyataan.

Suria Jam X Cool Blog akan dikendalikan penyampai radio, Issey dan Suraya Borhan.

SACC Walk Flea Market dibuka setiap hari Jumaat hingga Ahad dari 6 petang hingga 12 tengah malam dengan jualan barangan ‘pre-loved’ seperti jam tangan, alat mainan, cakera padat dan pakaian.


Pengarang :