PBTSELANGOR

Sungai Klang bakal jadi kawasan rekreasi

SUBANG, 9 OGOS: Sepanjang 3.8 kilometer jajaran Sungai Klang yang merentasi Subang Jaya akan dinaik taraf menerusi projek SJ Riverfront yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM2 juta.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Noraini Roslan berkata, projek itu akan mengubah wajah di sepanjang jajaran Sungai Klang tersebut kepada lokasi rekreasi yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk orang ramai beriadah.

“Selama ini Sungai Klang atau sungai-sungai lain yang terletak di belakang rumah, pusat komersial atau di kawasan perindustrian tidak dipeduli oleh sesiapa. Justeru,
projek yang dilaksanakan ini kelak sebagai langkah perintis ke arah memulihara semua sungai di negeri ini,” kata beliau.

Noraini berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Projek Merdeka Mural Pangsapuri Angsana dan SJ ‘Riverfront’ USJ 1, Subang Jaya di sini, hari ini.

Noraini memberitahu, projek menaik taraf Sungai Klang tersebut akan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

‘Kami menjangka fasa pertama projek SJ Riverfront di Sungai Klang itu boleh dibuka kepada orang ramai pada akhir Oktober 2019,”jelasnya.

Tambah Noraini, projek mencantikkan tebing sungai itu turut membabitkan kerjasama Jabatan Parit dan Saliran, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Berhad dan Lembaga Urus Air Selangor.


Pengarang :