AGENDAJENAYAH

Suspek kemalangan ragut nyawa Syed Mohammad Danial dituduh esok

SHAH ALAM, 21 OGOS: Suspek insiden kemalangan di Lebuhraya Utara – Selatan yang meragut nyawa Syed Mohammad Danial Syed Syakir akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kajang esok.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas tempoh reman ke atasnya tamat hari ini.

“Suspek akan dituduh esok, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Pada 10 Ogos lalu, Syed Mohammad Danial dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre selepas kemalangan berhampiran persimpangan Southvill City, Bangi.

Kemalangan yang pada mulanya kecil bertukar parah apabila berlaku insiden kejar mengejar antara mangsa dengan suspek.

Selepas insiden itu, suspek dikatakan menekan pedal minyak kereta dalam keadaan tergesa-gesa terlanggar Syed Muhammad Danial hingga menyebabkan mangsa tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan.


Pengarang :