AGENDANASIONAL

Suspek ugut bunuh Exco Perak dibebas dengan jaminan polis

IPOH, 23 OGOS: Seorang lelaki yang ditahan Isnin lalu kerana disyaki membuat ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Howard Lee, dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan terhadapnya selesai sehari sebelum tempoh reman empat harinya berakhir hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata suspek berusia 35 tahun itu dibebaskan petang semalam.

“Sepatutnya suspek direman sehingga hari ini namun siasatan ke atasnya telah selesai jadi kita beri jamin semalam,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Polis menahan lelaki itu susulan laporan polis yang dilakukan pegawai Lee selepas Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak itu menerima ancaman yang diterima melalui tangkap layar satu kumpulan WhatsApp dan dihantar kepadanya.

Lelaki itu kemudian ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ditanya mengenai satu lagi ugutan bunuh menerusi mesej yang dihantar oleh individu tidak dikenali di akaun Instagram milik Lee, beliau berkata tiada tangkapan lain melibatkan dakwaan itu.

Razarudin berkata, polis tidak menerima laporan daripada pihak Lee berhubung perkara berkenaan.

Lee dilaporkan berkata, beliau memaafkan secara peribadi kepada individu yang melakukan ugutan bunuh dan menyerahkan kepada pihak polis untuk ambil tindakan.

Mesej yang dihantar menerusi instagram milik Lee tertera dengan perkataan ‘saya akan panggang kamu’.

– BERNAMA


Pengarang :