AGENSISELANGOR

SYABAS sasar kerja penggantian paip siap malam ini

SHAH ALAM, 3 OGOS: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menyasarkan kerja penggantian paip pecah di di KM 6.6, Lebuhraya Persekutuan siap sepenuhnya sekitar 8 malam ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya sudah mengeluarkan kepala gerudi (Cutter Head) pihak ketiga, yang menyebabkan kerosakan teruk dan paip bersaiz 800mm pecah.

“Proses pembaikan ini mengambil masa kerana membabitkan paip pecah bawah tanah dan proses pembaikan rumit serta perlu dijalankan dengan berhati-hati bagi mengelakkan risiko juga insiden tidak diingini yang akan melewatkan lagi kerja pembaikan.

“Proses penggantian paip pecah itu sedang dilaksanakan dan pihak kami menyasarkan kerja pembaikan dapat disiapkan pada 8 malam ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Air Selangor juga sudah menggerakkan secara berterusan bantuan lori tangki air ke dua kawasan terjejas di Wilayah Petaling, iaitu Seksyen 11 dan Seksyen 16 serta premis di Jalan Pantai Baharu dan Lingkaran Syed Putra.

“Kami amat memahami kesulitan dialami pelanggan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini dan pengguna lebuh raya yang terkesan ekoran insiden tidak dijangkakan serta memohon maaf atas segala kesulitan.

“Pihak kami mengambil segala usaha bagi mempercepatkan kerja pembaikan dan pemulihan semula bekalan ke kawasan yang terjejas,” katanya.


Pengarang :