AGENSISELANGOR

Syarikat didenda gagal carum PERKESO ke atas 266 pekerja

SHAH ALAM, 2 OGOS: Hukuman denda maksimum dikenakan ke atas sebuah syarikat yang gagal membayar caruman kepada 266 kakitangan, diharap menjadi pengajaran kepada syarikat lain.

Dalam kenyataannya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkata, syarikat berkenaan dijatuhkan hukuman denda RM30,000 atas tiga pertuduhan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam.

Katanya, mahkamah juga memerintahkan tertuduh membayar keseluruhan jumlah caruman tertunggak lebih RM200,000 ke atas semua kakitangan terbabit secara tiga kali ansuran dalam tempoh tiga bulan.

“Selepas disabitkan dengan kesalahan, syarikat yang diwakili peguambelanya, merayu kepada mahkamah agar dikenakan hukuman ringan memandangkan syarikat sedang mengalami masalah kewangan.

“Bagaimanapun, pihak pendakwaan menjelaskan kes berkaitan harus dilihat daripada aspek kepentingan awam kerana ianya membabitkan kegagalan tertuduh untuk membayar caruman, sekali gus menafikan hak dan kepentingan keselamatan sosial pekerja.

“PERKESO berharap keputusan dan hukuman di dalam kes ini dapat memberikan pengajaran khasnya kepada tertuduh dan semua majikan di luar sana amnya agar sentiasa mematuhi peruntukan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 serta menjaga dan melindungi kepentingan juga hak pekerja,” katanya.

Pada masa sama, PERKESO berkata, pihaknya akan sentiasa mempertingkatkan aktiviti kesedaran dan promosi selain penguatkuasaan bagi memastikan hak serta kepentingan pekerja diberi keutamaan juga dilindungi.

“Pengiraan kelayakan bagi beberapa faedah ditawarkan di bawah skim perlindungan PERKESO seperti faedah pencen ilat dan pencen penakat di bawah Skim Keilatan adalah gagal dilindungi kerana skim itu dilindungi sekiranya jumlah bulan dicarumkan mencukupi.

“Oleh itu, kegagalan syarikat membuat bayaran caruman akan memberikan kesan terhadap orang berinsurans untuk memperoleh faedah perlindungan ditawarkan di bawah skim itu dan sekiranya pekerja ditimpa musibah dikhuatiri akan menjejaskan kelayakan mereka untuk mendapatkan kemudahan berkenaan,” katanya.

Kes perbicaraan itu dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan, Cawangan Penguatkuasaan, Yuzain Md Razak dan dibantu Pegawai Pendakwa daripada Pejabat PERKESO Selangor, Radin Suffian Radin Khairuddin.

Seramai empat saksi pendakwaan dipanggil untuk memberikan keterangan manakala pihak pembelaan memanggil seorang saksi pembelaan.


Pengarang :