Amirudin Shari dan EXCO Kerajaan Negeri serta pegawai lain dalam Program Pemerkasaan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor & Sesi Town Hall di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 19 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Tanjung Karang, Hulu Selangor nikmati jalur lebar percuma lebih baik

SHAH ALAM, 19 OGOS: Tanjung Karang dan Hulu Selangor bakal menikmati perkhidmatan jalur lebar percuma dengan lebih baik apabila Kerajaan Negeri mengusulkan isu berkenaan kepada Telekom Malaysia Berhad (TM).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau memahami ada di antara lokasi di daerah terbabit tidak dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar percuma disediakan Kerajaan Negeri.

“Kita senang berusaha menyediakan perkhidmatan itu termasuk berbincang dengan TM.

“Sudah hampir 85 peratus jaringan perkhidmatan internet berada di seluruh Selangor dan kita akan tambah baiknya setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Townhall bersama Dato’ Menteri Besar Selangor ketika Program Pemerkasaan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Selangor 2019 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian serta EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kemudahan infrastruktur adalah fokus utama Kerajaan Negeri dan ia disuarakan melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), baru-baru ini.

“Melalui RMK12, kita memohon sebanyak RM90 bilion kepada Kerajaan Pusat dan antara yang akan dibuat ialah kerja infrastruktur jalan raya di antara Pelabuhan Klang ke Pulau Indah.

“Tidak ketinggalan ialah projek jalur lebar di Sepang,” katanya.

Sehingga November tahun lalu, pengguna Wifi Smart Selangor (WiFiSS) yang berdaftar kini mencecah kira-kira 1,143,855 dalam tempoh tiga tahun sejak mula beroperasi pada September 2015.


Pengarang :