Kenderaan meredah hujan yang berpunca daripada Taufan Krosa di Tokyo pada 15 Ogos. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Taufan Krosa landa Jepun, 16 cedera

TOKYO, 15 OGOS: Agensi cuaca Jepun berkata, Taufan Krosa telah mendarat berhampiran Bandar Kure dalam Wilayah Hiroshima pada kira-kira pukul 3 petang waktu tempatan pada Khamis.

Taufan itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang cedera di seluruh lapan wilayah di Jepun dengan nasihat pemindahan dikeluarkan di Kochi, Shikoku dan Kyushu, lapor agensi berita China Xinhua.

Satu amaran peringkat 4, yang kedua tertinggi dalam skala, telah dikeluarkan kepada lebih 240,000 isi rumah atau kira-kira 510,000 penduduk, menurut laporan terkini.

Amaran peringkat ini bermaksud semua penduduk dinasihati berpindah secepat mungkin ke kawasan lebih selamat susulan keadaan ribut yang bertambah teruk dan kemungkinan berlaku insiden yang boleh membawa maut.

Ia bergerak ke utara pada kelajuan 30 kilometer sejam berbanding kira-kira 50 kilometer berhampiran Iwakuni di Wilayah Yamaguchi setakat pukul 1 tengah hari waktu tempatan, menurut agensi cuaca itu.

Krosa, yang merupakan taufan ke-10 musim ini, mungkin akan bergerak merentasi bahagian barat Jepun pada Khamis.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) sebelum ini memberi amaran bahawa Taufan Krosa mungkin mengakibatkan tanah runtuh, terutama di wilayah-wilayah Nara, Oita, Ehime dan Tokushima.

Krosa telah menjejaskan sistem pengangkutan dengan teruk, dengan 720 penerbangan domestik dibatalkan pada Khamis.

Lebih banyak penerbangan mungkin dibatalkan mulai sekarang, kata beberapa syarikat penerbangan, bergantung kepada trajektori taufan itu.

West Japan Railway Co mengumumkan pada Rabu lalu bahawa ia akan menggantung majoriti perkhidmatan kereta api peluru Shinkansen pada Khamis, yang mungkin menjejaskan ramai orang yang ingin pulang ke rumah masing-masing selepas musim cuti Bon.

– BERNAMA


Pengarang :