Ishak Ismail (kiri) menunjukkan durian yang dijual dengan harga RM5 sekilogram pada Jualan ‘Durian Day’ di pekarangan Pejabat FAMA Negeri semalam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tauke durian untung RM100,000 promosi guna media sosial

KUALA TERENGGANU, 8 OGOS: Strategi menjual durian melalui media sosial membolehkan seorang pemborong durian, Mohamad Afiq Jaizzuan Jamal, 26, memperolehi keuntungan lebih RM100,000 sepanjang musim durian kali ini.

Anak jati Bukit Payong, Marang yang sering membuat siaran langsung di Facebook dan promosi harga istimewa di WhatsApp, telah mula berniaga durian sejak lima tahun lalu dengan modal RM25,000 untuk mendapatkan bekalan raja buah itu dari Segamat, Johor.

Dengan bantuan 10 pekerja, Mohd Afiq akan berulang alik ke Johor setiap hari dan menjual durian antara 10 hingga 15 tan di tepi pagar Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus.

Usahawan bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu itu juga bersyukur kerana 20 tan duriannya turut laris setiap kali menyertai program jualan FAMA di sekitar Kuala Terengganu selama ini.

“Bagi menzahirkan rasa syukur itu, semalam saya buat promosi harga istimewa iaitu hanya RM5 sekilogram untuk durian pelbagai jenis berbanding harga biasa antara RM8 hingga RM10 sekilogram.

“Saya berharap FAMA akan terus membantu usahawan muda seperti kami untuk memasarkan durian dengan lebih mudah di lokasi strategik seperti pasar tani tumpuan ramai dengan lebih kerap lagi pada masa akan datang,” kata Mohamad Afiq.

Beliau ditemui pemberita di majlis pelancaran jualan Durian Day dan Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang disempurnakan Pengerusi FAMA, Ishak Ismail di sini semalam.

Sementara itu, Ishak berkata, kejayaan usahawan bimbingan FAMA seperti Mohd Afiq adalah satu kebanggaan untuk FAMA sekali gus membuktikan pertanian mampu menjana ekonomi anak muda di negara ini sekiranya dilakukan dengan serius.

“Terdapat 63,000 usahawan tani di seluruh negara yang berdaftar dengan FAMA dan mereka telah mendapat manfaat hasil penganjuran pelbagai program jualan terus kepada pelanggan yang dilakukan FAMA setakat ini.

“Kita bantu mereka daripada pelbagai aspek termasuk logistik, ladang kontrak dan jualan secara terus kepada pembeli di outlet FAMA seperti pasar tani Agrobazaar Rakyat, dan My Farm Outlet di seluruh negara di mana pendapatan mereka diakui meningkat hingga 40 peratus melalui jualan itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :