AGENDANASIONAL

Tempah wang peringatan pertabalan Agong secara dalam talian

SHAH ALAM, 20 OGOS: Orang ramai yang ingin membuat pembelian wang peringatan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh membuat tempahan secara dalam talian.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan memaklumkan, tempahan itu boleh dibuat melalui laman sesawang https://duit.bnm.gov.my mulai 19 Ogos hingga 23 Ogos ini.

Katanya, jika terdapat tempahan berlebihan, cabutan untuk menentukan tempahan berjaya akan dibuat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM sahaja dan bukan melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.

“Semua tempahan akan dipertimbangkan sewajarnya dan tiada keutamaan diberi kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan,” katanya.

Bagi memudahkan tempahan, katanya, semua tempahan perlu dibayar sepenuhnya secara dalam talian (e-pembayaran) menggunakan kad kredit, kad debit atau perbankan dalam talian.

Manakala, bayaran bagi tempahan yang tidak berjaya akan dikembalikan kepada pembeli melalui kaedah e-pembayaran yang digunakan semasa tempahan.

“Bayaran mungkin dikembalikan kepada pembeli sebelum pengumuman keputusan tempahan.

“Bagi memberikan peluang yang sama rata kepada semua, had pembelian bagi setiap pembeli ditetapkan iaitu emas (1), perak (1), emas nordic (3) dan set dua dalam satu perak dan emas nordic (1).

“Pembeli yang berjaya boleh mengambil wang peringatan yang ditempah antara 30 September hingga 11 Oktober di lokasi pengambilan yang dipilih semasa membuat tempahan,” katanya.

Pengumuman keputusan tempahan akan diumumkan pada 17 September 2019 di laman sesawang https://duit.bnm.gov.my.

Pengambilan boleh dibuat pada hari dan waktu bekerja biasa di Ibu Pejabat BNM (Blok D) dan di pejabat BNM di seluruh negara.

Pembeli perlu hadir dan menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah (contohnya, MyKad bagi warganegara Malaysia atau pasport bagi bukan warganegara Malaysia) semasa mengambil wang peringatan.

Pasport Malaysia TIDAK diterima sebagai bukti pengenalan diri bagi pengambilan wang peringatan.


Pengarang :