Exco Kerajaan Negeri Selangor Khairuddin Othman (tengah) turut sama Presiden Persatuan Tennis Kerusi Roda Malaysia Mohd Iqbal Sulaiman (dua, kiri) bergambar bersama atlet Malaysia ketika Majlis Perasmian Kejohanan Tenis Kerusi Roda Terbuka Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Uniqlo Selangor di Kompleks Sukan Kelana Jaya pada 20 Ogos 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Terbuka ITF Uniqlo Selangor 2019 sengit

PETALING JAYA, 20 OGOS: Kejohanan Tenis Kerusi Roda Terbuka Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Uniqlo Selangor dijangka sengit apabila seramai 61 pemain dari 10 negara dijadual menyertainya.

Presiden Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM), Mohd Iqbal Sulaiman berkata, kejohanan berlangsung 19 hingga 22 Ogos itu turut disertai beberapa pemain antarabangsa yang berada dalam carta pemain terbaik dunia.

“Antara yang menyertai kejohanan ini termasuk pemain negara, Abu Samah Borhan yang berada pada kedudukan 47 dunia, pemain Korea di kedudukan 30 dunia dan ramai lagi.

“Para pemain dan pegawai yang hadir gembira kerana kejohanan kali pertama dianjurkan di Selangor ini menyediakan pelbagai kemudahan yang sesuai untuk Orang Kelainan Upaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Program Perasmian Kejohanan Tenis Terbuka Uniqlo Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Selangor di Kompleks Sukan Kelana Jaya di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, selain Malaysia dan Korea, negara lain turut menyertai kejohanan anjuran WTM itu adalah Thailand China, Jepun, Perancis, Sri Lanka, Australia, Taipei dan India.

Katanya, WTM sedia menjalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menganjurkan kejohanan lebih besar pada tahun akan datang.

“Saya yakin dengan adanya kerjasama kedua-dua pihak dapat membantu membangunkan sukan tenis kerusi roda di Malaysia khasnya di Selangor sendiri,” katanya.


Pengarang :