AGENDA EKONOMI

Thai AirAsia X bakal lancar laluan ke Eropah

BANGKOK, 9 OGOS: Thai AirAsia X akan melancarkan penerbangan ke Eropah sama ada pada akhir tahun ini atau awal tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu sedang memohon kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan, sambil menambah laluan ke Eropah itu akan berlepas dari Bangkok, Thailand.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang sangat menyokong,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dilaporkan bahawa AirAsia X merancang untuk menggunakan pesawat Airbus A330-900neo bagi penerbangan ke Eropah, bermula dengan laluan Kuala Lumpur-London.

Fernandes berkata, Thai AirAsia dijangka menerima pesawat itu minggu depan.

Pada Januari 2012, AirAsia X memutuskan untuk menghentikan laluan Kuala Lumpur-Eropah akibat kenaikan cukai dan harga bahan api pesawat.

Terdahulu, Fernandes menghadiri majlis pelancaran liveri “Sustainable ASEAN” pada badan pesawat terbaru A320 Airbus AirAsia sempena sambutan Hari ASEAN di Bangkok, Thailand.

Liveri itu menampilkan ikon pelancongan ASEAN dan logo Pengerusi ASEAN, dan pesawat itu akan terbang ke lebih daripada 50 destinasi di ASEAN dari Kuala Lumpur.

Terdahulu, dalam ucapannya, Fernandes berkata, AirAsia komited untuk membangunkan kerjasama dan integrasi yang lebih baik bagi inisiatif seperti pelancongan lestari di ASEAN.

Beliau berkata, Dasar Langit Terbuka ASEAN telah meningkatkan kesalinghubungan serantau dan domestik, dan meningkatkan peluang perdagangan menerusi liberalisasi perjalanan udara di bawah pasaran pengangkutan udara tunggal dan diseragamkan.

-BERNAMA


Pengarang :