AGENDANASIONAL

Tiada kesan negatif empat LMS dibina di China

KUALA LUMPUR, 1 OGOS : Keputusan kerajaan untuk membina empat kapal misi pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di China tidak memberi kesan negatif kepada pemindahan teknologi dan pengetahuan serta kebergantungan Malaysia kepada negara China.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini berkata perancangan asal adalah untuk membina dua unit LMS di China dan dua lagi di Malaysia, namun mengambil kira situasi kewangan semasa negara, kerajaan pada Oktober 2018 bersetuju membina keempat-empat unit kapal itu di China.

“Berikutan itu, China bersetuju untuk melaksanakan program-program pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada Malaysia menerusi syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan syarikat-syarikat vendor yang dikenal pasti, termasuk bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih serta sokongan logistik.

“Walaupun LMS dibuat di China, Malaysia tidak akan kehilangan kerja-kerja berkemahiran tinggi kerana pihak BNS memastikan bahawa kemahiran tersebut kekal di BNS. Sekiranya terdapat keperluan, pekerja-pekerja berkemahiran tinggi ini boleh mendalami ilmu masing-masing menerusi pemindahan teknologi dan penempatan kerja,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut kaedah ini boleh memastikan negara mendapat kelebihan kepada peningkatan kerjaya dalam bidang-bidang kemahiran tinggi.

“Perkara ini dapat mendukung keperluan TLDM dalam menyelenggara dan membaik pulih aset strategik negara dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan kita terhadap negara luar.

“Perlu ditekankan bahawa kontrak perolehan yang ditandatangani ini adalah antara kerajaan Malaysaia dan BNS. Selain itu BNS juga masih mendapat peluang dan manfaat melalui projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang sedang dibina di Lumut,” kata kenyataan itu lagi.

Kontrak Perolehan empat buah LMS antara kerajaan Malaysia dan syarikat BNS telah ditandatangani pada 23 Mac 2017. Kontrak yang bernilai RM1.048 bilion itu akan dilaksanakan dalam tempoh empat tahun, bermula pada 2017 sehingga 2021. -BERNAMA


Pengarang :