EXCOSELANGOR

Tiada pencemaran di Sungai Jang, Hulu Selangor

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Negeri mengesahkan tiada sebarang cecair masuk ke dalam sungai berdekatan Loji Pembersihan Air (LPA) Rantau ekoran terdapat 112 tong berisi cecair yang tidak dikenalpasti diletakkan berhampiran loji berkenaan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi, Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, hasil siasatan turut mendapati pemilik tong itu adalah seorang pemilik kebun tanam sayur di kawasan berhampiran.

Ekoran itu, katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil tindakan segera dengan memasang ‘condone tape’ pada kesemua tong berkenaan di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati terdapat 112 tong berisi cecair yang tidak dapat dikenalpasti diletakkan berhampiran anak sungai tidak bernama yang mengalir ke Sungai Jang.

“Walaubagaimanapun, tiada cecair yang masuk ke dalam sungai yang mana jarak dari lokasi kejadian ke LPA Rantau Panjang adalah dalam 52 kilometer,” katanya dalam kenyataan.

Loy Sian berkata, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memberikan dua notis kesalahan kepada pemilik tong berkenaan

“Siasatan lanjut mendapati tong itu diedar oleh sebuah kilang di Kampung Sungai Dara, Behrang Ulu, Perak, justeru Majlis Daerah Tanjung Malim juga mengeluarkan notis kesalahan,” katanya.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengarahkan pemilik kilang itu untuk menguruskan tong berkenaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jauh daripada sungai.

Katanya, sehingga semalam, tong di lokasi kejadian dihantar semula ke kilang terbabit.

“Pemantauan di lokasi kejadian masih diteruskan LUAS dan pihak berkenaan,” katanya.

Sabtu lalu, LUAS menerima laporan berhubung kejadian pembuangan tong berisi cecair di perkampungan orang asli Sungai Jang, Kerling, Hulu Selangor kira-kira 7.30 pagi daripada MDHS.


Pengarang :