AGENSISELANGOR

Tiada perlindungan dorong peningkatan keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 28 OGOS: Tiada tempat berlindung, bantuan kewangan dan sokongan antara penyumbang kepada peningkatan kes keganasan rumah tangga hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Wanita Berdaya (IWB), Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, desakan itu menyebabkan mangsa akhirnya memilih untuk kembali ke pangkuan suami masing-masing.

“Dalam komuniti sosial, stigma mangsa ke pusat perlindungan untuk meneruskan hidup tetapi apa yang berlaku? Pusat perlindungan kebanyakannya tiada dana.

“Oleh itu, mangsa terpaksa kembali kepada suami dan keluarga yang mendera mereka,” katanya pada Sesi Perbincangan Meja Bulat IWB Selangor, di sini, baru-baru ini.

Untuk rekod, lebih 30,000 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia, sejak 2013 hingga 2018.

Namun, 85 peratus daripadanya tidak dipanjangkan kepada pusat perlindungan bagi pembelaan lanjut.

Sementara itu, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan Negeri komited mencari solusi bagi menangani isu keganasan rumah tangga yang tidak berkesudahan, pada masa kini.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti dan membuat penyelidikan membabitkan keperluan serta kesediaan pengaksesan pusat perlindungan mangsa.

“Kes keganasan domestik di Selangor antara yang paling membimbangkan dalam kalangan 14 negara Asia Pasifik bagi keselamatan wanita.

“Kes keganasan rumah tangga ini menjadi kompleks dan tidak berkesudahan kerana apabila laporan dibuat, mangsa kemudian menarik semula ekoran tidak mendapat perlindungan serta sokongan yang sepatutnya,” katanya.

Katanya, sehingga Mac tahun ini, sebanyak 43 tempat berlindung ditetapkan sebagai tempat selamat di Malaysia, dengan 35 daripadanya diuruskan Jabatan Kebajikan Malaysia, manakala tujuh lagi oleh badan bukan kerajaan.

“Hanya pusat perlindungan yang penubuhannya kuat dan berpengalaman luas sahaja berani memberi perlindungan,” katanya.


Pengarang :