Selangorkini
AGENSI SELANGOR

Tiada ruang untuk PATI kuasai perniagaan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Selangor tidak pernah memberi ruang buat warga asing terutamanya pendatang tanpa izin (PATI) memonopoli perniagaan di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Menurut beliau, tidak dapat dinafikan ada antara bidang pekerjaan di negara ini yang mendesak dan memang kerajaan sangat memerlukan tenaga kerja warga asing.

Bagaimanapun, kata Amirudin, warga asing yang berada di negeri ini kini dilihat semakin berani melanggar batas undng-undang dengan membuka perniagaan secara terbuka di pasar malam malah ada yang memiliki kedai runcit.

“Ingin saya tegaskan, tidak ada mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor membenarkan warga asing khasnya PATI berniaga. Justeru kerajaan negeri bertegas untuk menangani isu ini hingga selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Townhall bersama Dato’ Menteri Besar Selangor pada

Program Pemerkasaan Ahli Majlis PBT Selangor 2019 di Shah Alam Convention Centre di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian dan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Datuk Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail serta Jabatan Imigresen Malaysia bagi menangani isu pendatang asing yang mula berjinak dalam bidang perniagaan.

“Kita tidak lagi mahu mendengar peniaga Indonesia menguasai pasar malam, warga Myanmar berniaga sayur-sayuran manakala penduduk negeri ini pula mengadu mereka tiada pekerjaan.

“Jika mereka mempunyai permit sah ia tiada masalah, namun bagi mereka yang memiliki perniagaan sendiri kita akan cuba banteras,” katanya.


Pengarang :