Sih Huay Heng, 50, (kiri) dan isteri Tan Lay Tin, 42, (dua, kiri), bersama pekerja mereka daripada berbilang kaum menunjukkan reka bentuk baju dan apron bermotifkan Jalur Gemilang yang ditempah pelanggan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini ketika ditemui di kedainya yang terletak di Taman Jaya, Jalan Alsagoff, pada 22 Ogos 2019. Foto BERNAMA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tidak putus terima tempahan baju sempena Hari Kemerdekaan

PONTIAN, 22 OGOS: Menerima tempahan baju sehingga ‘tidak menang tangan’ setiap kali menjelang tiba bulan kemerdekaan bukanlah perkara luarbiasa buat satu pasangan suami isteri kelahiran daerah ini, sejak mereka memulakan perniagaan itu kira-kira 21 tahun yang lepas.

Lebih menarik lagi, anak bongsu mereka lahir pada 31 Ogos, 17 tahun yang lepas, semasa kedua-dua mereka bertungkus lumus menyiapkan tempahan menjelang ketibaan sambutan sempena memperingati Hari Kemerdekaan negara.

Sih Huay Heng, 40-an, berkata dia mempunyai ramai pelanggan tetap, malah turut menerima tempahan daripada seluruh negara termasuk dari pelanggan di Sabah dan Sarawak.

Ketika ditemu bual Bernama di kedainya yang terletak di Taman Jaya, Jalan Alsagoff dekat sini, hari ini, Sih yang mesra dan peramah itu, tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Sih berkata dia bersama isterinya Tan Lay Tin, 42, dengan bantuan lebih 12 pekerja tukang jahit menghasilkan pelbagai reka bentuk pakaian bermotifkan Jalur Gemilang termasuk t-shirt, topi, selempang, vest, apron dan pelbagai lagi untuk dewasa sehingga bayi.

Sih berkata kebanyakan tempahannya sepanjang bulan kemerdekaan adalah daripada pihak sekolah, jabatan kerajaan serta swasta dan reka bentuk baju adalah daripada idea sendiri selain turut mengikut permintaan pelanggan.

Sementara itu, Tan yang dilihat sering bergurau senda bersama pekerjanya yang pelbagai bangsa itu turut tidak mahu ketinggalan untuk bebual mesra dengan wartawan dari Bernama, mencerikatan kisah pada tahun 2002, semasa beliau yang sarat mengandung anak bongsu masih bekerja keras membantu suaminya menyiapkan tempahan bulan kemerdekaan mengikut perancangan.

“Saya dinasihatkan doktor untuk masuk wad dua minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin iaitu 30 Ogos, tetapi saya cakap tidak mahu kerana banyak lagi tempahan belum siap.

“Doktor terkejut dan bagi amaran, tetapi saya rasa biasa dan tidak sakit-sakit seperti bersalin dan sempat usap perut bercakap dengan anak supaya bertahan sekejap. Sampailah pada 30 Ogos saya dimasukkan ke wad dan anak saya lahir keesokan harinya,” katanya sambil tersenyum ketika mengimbau kenangan manis itu.

Tan berkata perniagaannya itu semakin maju kerana berkat bantuan dan sokongan orang ramai dan beliau menyifatkan bulan kemerdekaan sebagai bulan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum.

Salah seorang pelanggan tetapnya Sulaiman Kimin, 66, yang ditemui semasa sedang mengambil tempahan baju kemerdekaan buat cucunya, Muhammad Amar Adli Azizi berusia lima tahun berkata , pasangan suami isteri itu sentiasa disenangi oleh orang ramai.

“Heng dan dan Tin (nama panggilan) memang baik, saya kenal sudah lama. Harga tempahan baju boleh runding dan kualiti baju dia memang terbaik.

“Tahun ini tergerak hati beli baju merdeka untuk cucu, saya harap dia suka kerana ini juga kejutan buatnya, Sih bijak jual baju untuk kanak-kanak,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :