AGENDAEKONOMINASIONAL

Tindakan afirmatif tidak berkesan rapat jurang ekonomi antara kaum

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Tindakan afirmatif tanpa mengira kaum mungkin cukup untuk meningkatkan kesejahteraan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) tetapi pendekatan sebegini tidak akan berkesan untuk merapatkan jurang ekonomi di antara kaum, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) hari ini.

MTEM berkata, golongan yang sudah memiliki kelebihan ekonomi atas faktor sistem ekonomi warisan penjajah akan lebih berjaya dengan dasar afirmatif yang mengetepikan dimensi kaum dan kekayaan yang kekal dalam kalangan kumpulan yang sama adalah tidak sihat dan sangat berbahaya di Malaysia.

Menurutnya, pengisytiharan baru-baru ini oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak lagi lestari dan harus digantikan dengan dasar-dasar yang berasaskan keperluan dan bebas dari dimensi kaum adalah suatu yang membimbangkan masyarakat Bumiputera dan MTEM.

“MTEM sedar akan kelemahan pelaksanaan DEB pada masa lalu tetapi adalah salah untuk melaksanakan dasar tindakan afirmatif tanpa mengambil kira dimensi kaum seperti yang dicadangkan oleh bakal Perdana Menteri tersebut,” kata MTEM dalam kenyataan hari ini.

MTEM menambah, kegagalan Barisan Nasional untuk menutup jurang ekonomi antara kaum walaupun berkuasa selama setengah abad menuntut penilaian semula dasar tindakan afirmatif akan dilaksanakan di masa depan.

“Namun, MTEM bimbang bahawa tuntutan untuk menghapuskan tindakan afirmatif berasaskan kaum, akan membawa kepada ketidakpedulian jurang antara kaum. Di Malaysia, hal sebegini boleh menyebabkan masalah perpaduan dan persengketaan di antara kaum,” katanya.

MTEM berkata, tindakan afirmatif di Malaysia memerlukan penilaian dari sudut dimensi kaum untuk memastikan perpaduan kaum di Malaysia terpelihara dan rakyat Malaysia perlu lebih memahami sejarah sesuatu dasar sebelum membuat sebarang kesimpulan.

“Dengan ini, maka lebih mudah untuk kita mencapai kata sepakat mengenai pembaharuan positif yang perlu dilakukan terhadap DEB yang dalam pandangan MTEM masih relevan untuk masa depan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim harus memahami bahawa Bumiputera mengharapkan beliau untuk memperbaharui DEB dan bukan menghapuskannya.

“Sekiranya beliau menyimpang daripada realiti ini, pastinya akan ada tindak balas negatif yang besar terhadap kerajaan. Sokongan Bumiputera adalah penting kepada mana-mana perdana menteri Malaysia,” kata MTEM. – BERNAMA


Pengarang :