WASHINGTON, 20 OGOS: Gergasi media sosial Amerika Syarikat (AS), Facebook pada Isnin menyatakan pihaknya telah memadam lima akaun yang berpangkalan di China dan halaman lain kerana didakwa menggunakan taktik menipu yang menumpukan kepada Hong Kong, lapor agensi berita Sputnik.
“Hari ini kami memadam tujuh halaman, tiga kumpulan dan lima akaun Facebook yang terbabit dalam menyelaras sikap tidak beretika sebagai sebahagian rangkaian kecil yang berasal dari China dan menumpukan terhadap Hong Kong,” menurut kenyataan dikeluarkan Facebook.
“Individu yang menjadi dalang dalam kempen ini terbabit dalam beberapa taktik menipu, termasuk menggunakan akaun palsu… mereka sering menyiarkan berita tempatan dan isu lain termasuk topik seperti bantahan yang berlaku di Hong Kong.”
Kenyataan itu menyebut, meskipun dalang kempen ini cuba menyembunyikan identiti mereka, siasatan syarikat menemui pautan terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan kerajaan.
Syarikat itu melancarkan siasatan berdasarkan maklumat menerusi Twitter.
– BERNAMA