Datuk Abdul Rashid Asari. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Tourism Selangor akan terima Pengurus Besar baharu

SHAH ALAM, 19 OGOS: Tourism Selangor bakal menerima Pengurus Besar yang baharu tidak lama lagi bagi mengantikan Noorul Ashikin Mohd Din.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pihaknya sudah mencadangkan beberapa nama kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari untuk dipilih.

“Kita menerima beberapa permohonan dan sudah menyenarai pendek, saya juga sudah menghantar senarai itu kepada Dato’ Menteri Besar.

“Saya menjangkakan, lantikannya akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada SelangorKini.

Abdul Rashid berkata, Tourism Selangor memerlukan calon yang berintegriti, berkredibiliti dan berpengalaman selain menonjolkan ciri-ciri seorang pemimpin.

“Hal ini bagi memastikan anak syarikat Kerajaan Negeri itu mempunyai pengurusan lebih cekap, mantap dan komited memajukan produk pelancongan negeri ini.

“Produk pelancongan Selangor terlalu banyak, ia akan rugi jika tidak dipromosikan.

“Oleh itu, sesiapa yang bakal dipilih diharap dapat membantu saya untuk menjadikan Tourism Selangor lebih maju dan hebat berbanding negeri lain dalam menarik pelancong,” katanya.

Ketika ini, Tourism Selangor dipimpin Pemangku Pengurus Besar, Mohammad Zaim Mohammad Nasir.


Pengarang :