AGENDANASIONAL

TPM: Bekas pesalah pedofilia boleh terus pengajian

ALOR SETAR, 24 OGOS: Nur Fitri Azmeer Nordin yang didapati bersalah memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London boleh meneruskan pengajiannya di negara ini, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu bersikap adil kepada semua termasuk bekas pelajar jurusan Matematik itu, namun pada masa sama akan memantau perlakuannya bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Dia sudahpun menjalani hukuman atau sebahagian daripadanya. Adakah kita mahu menghukumnya seumur hidup?

“Pada masa sama, kita mahu menjaga anak-anak kita juga, jadi kita perlu seimbang,” katanya ketika mengulas berhubung kebimbangan masyarakat terhadap Nur Fitri dan sama ada dia wajar diberi peluang selepas menerima hukuman atas kesalahannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni Rakyat peringkat Negeri Kedah di Pusat Membeli-Belah Aman Central, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kementeriannya menyediakan pangkalan data bagi pesalah jenayah terhadap kanak-kanak, namun data yang ada hanya bermula pada 2017.

“Kami akan buat lebih komprehensif kerana kutipan data hanya pada 2017, tetapi Fitri pada 2015 berada di luar negara, jadi kami akan lihat kelemahan ini dan akan mengatasinya, supaya keselamatan serta kesejahteraan anak-anak kita akan terpelihara,” katanya.

Pada Mei 2015, Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, United Kingdom dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.

Nur Fitri menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sebelum kerajaan Malaysia membawanya pulang.

Dia kini diterima mengikuti program pasca siswazah doktor falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas mula mendaftar sebagai pelajar di institusi itu sejak 2016 bagi program pengajian peringkat ijazah sarjana muda.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung rombakan Kabinet, Dr Wan Azizah enggan mengulas perkara berkenaan sebaliknya meminta wartawan bertanyakan soalan itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Itu kena tanya perdana menteri,” katanya ringkas.

Media sebelum ini melaporkan berhubung rombakan Kabinet, bagaimanapun Dr Mahathir semalam menyangkal perkara itu dan menjelaskan kemungkinan berlaku pertukaran kecil portfolio menteri sahaja.

-BERNAMA


Pengarang :