BERITA UTAMA

TPM dijadual bertemu keluarga Nora Anne pagi ini

SEREMBAN, 16 OGOS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan pertemuan dengan keluarga Nora Anne Quoirin, jam 10.30 pagi ini susulan kematian remaja Ireland itu, pada 10 Ogos lalu.

Pertemuan itu dirancang diadakan di resort The Dusun, Pantai, resort penginapan keluarga berkenaan yang juga tempat Nora Anne, 15, dilaporkan hilang pada 4 Ogos, sehari selepas keluarganya mendaftar masuk untuk percutian selama dua minggu.

Sebelum itu, Dr Wan Azizah dijadual mendengar taklimat daripada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop di Balai Polis Pantai berhubung kes yang menimpa remaja anak istimewa itu.

Semalam, Mohamad dalam sidang media mengesahkan Nora Anne meninggal dunia ekoran kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres berpanjangan.

Mohamad berkata, hasil bedah siasat mendapati remaja malang itu mungkin meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya dijumpai dan tiada tanda perbuatan jenayah.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan gadis itu dilaporkan hilang.

Sementara itu, tinjauan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pagi ini mendapati mayat Nora Anne masih belum dituntut anggota keluarga.

-BERNAMA


Pengarang :