Keadaan sebuah restoran di Gombak yang diarah tutup kerana kotor. Foto Facebook/JABATAN KESIHATAN SELANGOR
AGENSISELANGOR

Tujuh restoran ada tikus, lipas ditutup

SHAH ALAM, 30 OGOS: Jabatan Kesihatan Selangor menutup tujuh restoran di
daerah Gombak kerana beroperasi dalam persekitaran yang kotor serta terdapat
infestasi atau kehadiran tikus dan lipas.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, arahan penutupan
selama dua minggu itu dibuat mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 dan
dikeluarkan ketika Ops Premis Bersih yang dijalankan di kawasan Selayang dan
Kepong pada 22 Ogos lepas.

“Dalam operasi itu, sebanyak 127 restoran dan kedai makanan telah diperiksa
dan daripada jumlah tersebut, lima premis ditutup kerana terdapat tikus dan
lipas dalam premis berkenaan.

“Manakala dua premis lagi ditutup kerana mendapat markah kebersihan kurang
daripada 65 peratus. Kesemua premis yang diarah tutup diberi tempoh selama dua
minggu untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 10 dan 11 Akta
Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi sama juga, sebanyak 159 notis melibatkan
pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 turut
dikeluarkan kepada 120 pemilik dan pekerja premis yang diperiksa.

Selain itu, katanya, pihaknya turut mengenal pasti 108 pengendali makanan
bekerja di restoran yang diperiksa tidak memiliki sijil latihan pengendali
makanan manakala 129 orang lagi tidak mendapatkan suntikan typhoid.

“Sekiranya pengusaha telah mematuhi kesemua arahan pembersihan dan
penambahbaikan selepas lima hari, mereka boleh memohon pemeriksaan sebelum
dibenarkan kembali beroperasi,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Dr Khalid, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima
permohonan daripada pemilik restoran untuk membuka semula premis mereka.

Tegas beliau, pihaknya akan sentiasa mengadakan operasi di seluruh Selangor
bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan sentiasa mematuhi peruntukan
undang-undang supaya makanan yang disediakan selamat dimakan bagi mengelak
kejadian keracunan makanan berlaku kepada masyarakat.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai supaya menyalurkan maklumat dan aduan
kepada Jabatan Kesihatan Selangor sekiranya mendapati ada premis yang makanan
kotor atau terdapat produk makanan rosak yang djual mana-mana lokasi di negeri
berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :