MELAKA, 3 Ogos — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hadir pada Majlis Townhall Semarak Merdeka anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Teknologi MARA di Bandar Hilir hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tun M: Berbanggalah dengan nilai hidup ketimuran

MELAKA, 3 OGOS: Berbangga dengan nilai serta cara hidup ketimuran dan tidak terikut dengan budaya barat adalah antara nasihat diutarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada golongan muda negara.

Bercakap dalam sesi perhimpunan semarak merdeka di hadapan kira-kira 500 pelajar institusi pengajian tinggi, pemimpin berusia 94 tahun itu mengakui berlaku penjajahan minda, khususnya kepada anak muda yang terikut dengan budaya hidup barat.

Beliau berkata, nilai hidup barat kini sudah menjadi keterlaluan berbanding nilai hidup yang dipegang mereka dahulu.

“Mereka cipta nilai hidup baharu, yang kadang-kadang tidak sopan sama sekali. Ada juga orang kita yang terperangkap dalam pendapat (nilai) ini dan kalau kita turut dengan nilai-nilai hidup cara barat ini, kita akan sekali lagi ditakluk oleh pihak barat,” katanya, di sini, hari ini.

Mengambil kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai contoh, perdana menteri berkata ia adalah antara manifestasi kebebasan cara barat.

“Lelaki sama lelaki kahwin, perempuan sama perempuan kahwin, macam mana nak dapat anak.

“Kalau mereka buat itu, saya ingat dalam jangka masa tak sampai 100 tahun, bangsa mereka akan lenyap kerana tak dapat anak sama sekali,” katanya disambut gelak tawa hadirin.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut berkongsi kepentingan bidang politik yang dianggap kotor sesetengah pihak termasuk anak muda.

Beliau berkata tanpa kuasa politik, Malaysia tidak akan mencapai kemerdekaan daripada penjajahan pihak British.

Dr Mahathir turut menggesa anak muda mencontohi sikap masyarakat Turki yang rajin dan berilmu sehingga mampu membawa negara itu menjadi sebuah negara Islam yang maju.

Beliau berkata, kebolehan rakyat Turki amat tinggi dan cekap sehingga mampu membina pesawat pejuang serta dron, dan projek pembangunan di negara berhampiran, dilakukan oleh syarikat Turki.

“Kalau tengok pembangunan di Turki adalah lebih baik daripada Malaysia, dan pembangunan itu adalah hasil orang Turki.

“Generasi muda elok pergi Turki, belajar sedikit bahasa Turki dan kerja di sana 10 tahun dan bila balik, saya rasa Malaysia boleh berubah,” kata beliau yang melakukan lawatan rasmi ke Turki akhir bulan lalu.

– BERNAMA


Pengarang :