Tunjuk perasaan di Hong Kong turut menjejaskan lapangan terbang di negara itu. Foto /AFP
AGENDAGLOBAL

Tunjuk perasaan cetus kekacauan lalu lintas di Hong Kong

BEIJING, 5 OGOS : Beribu-ribu penunjuk perasaan di Hong Kong, yang membantah rang undang-undang ekstradisi kontroversi, telah mencetuskan kekacauan lalu lintas di seluruh bandar dan dijangka menghimpunkan lebih 500,000 peserta lagi termasuk penjawat awam, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik laporan media tempatan pada Isnin.

Menurut akhbar South China Morning Post, penunjuk perasaan terus menyekat jalan raya dan laluan rel pada Isnin bagi memaksa pemerintah tunduk kepada kehendak mereka.

Penganjur perhimpunan itu merancang untuk menghalang penduduk keluar bekerja di daerah-daerah perniagaan di bandar tersebut.

Tunjuk perasaan itu telah menjejaskan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, yang menyaksikan hanya satu landasan masih beroperasi.

Pengkritik perhimpunan itu berkata gangguan berskala besar dalam semua bidang perniagaan daripada restoran hinggalah penerbangan, akan menyebabkan kerosakan besar ke atas reputasi antarabangsa Hong Kong, yang sebelum ini sering berbangga dengan kestabilan dan perkhidmatan berkelas dunianya.

Pada hujung minggu, bandaraya itu telah menyaksikan beberapa siri pertempuran ganas antara para penunjuk perasaan dengan polis, yang berakhir dengan penggunaan gas pemedih mata dan beberapa penahanan.

Perhimpunan besar-besaran meletus di Hong Kong pada awal Jun apabila pihak berkuasa mempertimbang penggunaan rang undang-undang yang akan membolehkan bandaraya autonomi China itu mengekstradisi suspek ke bidang kuasa di mana ia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi, termasuk tanah besar China.

Tunduk di bawah tekanan tunjuk perasaan itu, pemerintah telah menggantung rang undang-undang tersebut ke suatu tarikh yang belum ditentukan dan Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam telah mengemukakan permohonan maaf secara umum.

Bagaimanapun, para penunjuk perasaan masih menuntut agar pindaan terhadap ekstradisi itu ditarik balik sepenuhnya dan siasatan dijalankan ke atas tindakan polis semasa tunjuk perasaan sebelum ini. -BERNAMA


Pengarang :