Pasukan UiTM bergambar kenangan selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan MASUM 2019 yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang.
SUKANKINI

UiTM juara keseluruhan MASUM

SHAH ALAM, 4 OGOS : Universiti Teknologi Mara (UiTM) melakar kejayaan tersendiri apabila dinobatkan juara keseluruhan Sukan Majlis Sukan Universiti (MASUM) 2019 yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari 29 Julai hingga semalam.

Ketua Kontinjennya, Mohd Fisol Saud berkata, pasukannya merangkul 64 emas, 33 perak dan 35 gangsa, sekali gus mengatasi pencabar terdekat, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang meraih 44 pingat emas, 38 perak serta 27 gangsa.

“Acara Silat menyumbang tujuh emas, Memanah (empat emas) manakala Bola Baling wanita, Ping Pong Beregu Lelaki, Badminton Perseorangan Lelaki dan Boling Padang Triples Wanita masing-masing menyumbang satu pingat emas di hari terakhir kejohanan.

“Lebih manis lagi, UiTM mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraih tempat ketiga dengan kutipan pingat 20 emas, 17 perak dan 28 gangsa.

Katanya yang juga Timbalan Pengarah Pusat Sukan UiTM, kejayaan mengungguli sukan berkenaan adalah hasil sokongan berterusan daripada pihak pengurusan tertinggi UiTM selain latihan pusat berkala dan semangat juang tinggi oleh atlet serta jurulatih pasukan.

Terdahulu, MASUM mempertaruhkan 19 acara sukan yang dipertandingkan dan terbahagi kepada dua fasa bermula sejak 23 Julai lalu.


Pengarang :