Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Ong Ewe Hock selepas menandatangani MoU di Kampus UNISEL Shah Alam pada 29 Ogos 2019. Foto UNISEL
AGENSISELANGOR

UNISEL-BEIM tandatangan MoU kukuh bidang perniagaan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Universiti Selangor (UNISEL) dan Institut Perniagaan Beretika Malaysia (BEIM) mengukuhkan jaringan kerjasama dalam bidang perniagaan dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di kampus Shah Alam, di sini, semalam.

MoU berkenaan ditandatangani Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman bersama Naib Presiden BEIM, Ong Ewe Hock.

Mohammad Redzuan berkata, perjanjian persefahaman itu meliputi aspek penyelidikan dan pembangunan serta kolaborasi seperti latihan, penyelidikan bagi memfokuskan kepada etika dalam perniagaan.

“Menerusi MoU ini, BEIM mahu memberi tumpuan khusus bagi membina kesedaran amalan perniagaan beretika khusus dalam kalangan pelajar UNISEL.

“Diharapkan pensyarah dan pelajar terutama daripada Fakulti Perniagaan dan Perakaunan akan dapat mengambil peluang ini untuk turut sama terlibat dalam aktiviti dan persidangan yang dijalankan oleh BEIM.

“Pelajar juga boleh mengambil peluang daripada jalinan kerjasama ini untuk menjalani latihan industri di BEIM,” katanya.

BEIM adalah sebuah organisasi bebas yang ditubuhkan pada tahun 1997 bagi memupuk kesedaran perniagaan beretika dalam agenda perniagaan negara.


Pengarang :