AGENDANASIONAL

Untung bersih MAHB naik 85.88 peratus pada suku kedua

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat 85.88 peratus kepada RM160.08 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2019, daripada RM86.12 juta dicatatkan dalam tempoh sama, pada tahun lalu.

Perolehan naik kepada RM1.26 bilion daripada RM1.15 bilion sebelum ini, menurut pengendali lapangan terbang itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, menyatakan prestasi itu disumbangkan oleh pertumbuhan penumpang yang lebih tinggi.

Rangkaian lapangan terbang kumpulan itu, termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA) di Turki, mengendalikan sebanyak 67.8 juta penumpang dalam tempoh enam bulan pertama 2019 (H1 2019) — pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.3 peratus.

“Pertumbuhan trafik Malaysia didorong terutamanya oleh sektor domestik, sebahagiannya didorong oleh permintaan yang tinggi dalam perjalanan udara berikutan cuti sambutan Aidilfitri dan cuti musim panas, disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan.

“Trafik ISGIA didorong terutamanya oleh sektor antarabangsa berikutan sebahagian daripada syarikat penerbangan utama memindahkan operasi tertentu daripada domestik kepada sektor antarabangsa. Oleh itu, ISGIA dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya pada 2019 terutamanya bagi trafik penumpang antarabangsa,” menurut MAHB.

Berdasarkan prestasi H1 2019 kumpulan itu, Lembaga Pengarah mengumumkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019.

MAHB turut menekankan kerjasamanya dengan Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Tabung Haji dan Pihak Berkuasa Imigresen Arab Saudi untuk memudahkan pergerakan dan proses imigresen untuk jemaah haji Malaysia melalui penggunaan pengenalan automatik, teknologi penangkapan data rapid dan teknologi relay untuk pelepasan imigresen.

Inisiatif itu membolehkan jemaah haji tiba di Mekah dan Madinah dengan melangkau kelewatan masa dan cabaran pentadbiran yang dihadapi sebelum ini.

Pada musim haji 2019/1440 Hijrah, kerjasama Malaysia–Arab Saudi telah mengendalikan hampir 30,000 penumpang pergi dan dari Mekah dan Madinah.

“Dengan teknologi diperkenalkan dalam usaha kerjasama itu, masa menunggu jemaah haji di destinasi dan seterusnya berkurangan dengan ketara sehingga 60 peratus, manakala penghantaran data kekal selamat dan lancar,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :