Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Berhad (Kumpulan Utusan) Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (tiga, kanan) ketika sidang media mengulas situasi semasa syarikat penerbitan akhbar itu yang tidak akan menghentikan operasi mereka, 20 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Utusan Melayu tidak akan ditutup, harga akhbar dinaikkan 50 sen

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad boleh menarik nafas lega, apabila pihak pengurusan syarikat penerbitan itu mengesahkan operasi syarikat tidak akan ditutup.

Pengerusi Eksekutif syarikat itu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata dakwaan penutupan syarikat yang mengeluarkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo itu adalah tidak benar, walaupun mengakui keadaan kewangan syarikat berusia 80 tahun itu adalah ‘tenat’.

“Kita tidak ada pilihan, kerana pilihan mudah ialah tutup, tetapi Utusan Malaysia sudah 80 tahun, Utusan yang cetuskan pelbagai kejayaan dalam negara kita. Kita (Utusan) menentang Malayan Union, Utusanlah pencetus kemerdekaan, kerana Utusanlah Bahasa Malaysia jadi bahasa utama.

“Kalau ikut operasi sepatutnya 10 tahun dahulu Utusan sudah tiada. Kalau mahu persoal tentang rugi, Utusan mengalami kerugian sejak 2010 lagi, cuma ketika itu masih ada subsidi daripada kerajaan,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat khas bersama kakitangan, di Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Abdul Aziz turut memaklumkan pihaknya akan membayar gaji tertunggak pekerja dan bekas pekerja yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sebanyak RM2,000 selewat-lewatnya malam ini.

Namun beliau berkata tiada tarikh tetap mengenai penyelesaian tunggakan gaji dan bayaran VSS tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata bagi membantu memulihkan keadaan kewangan syarikat itu pihaknya terpaksa menaikkan harga jualan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sebanyak 50 sen senaskah, bermula Jumaat ini.

Harga akhbar Utusan Malaysia ketika ini adalah RM1.50 manakala Kosmo pula RM1.

Abdul Aziz turut menyeru kepada orang ramai yang mengambil berat mengenai nasib yang menimpa syarikat itu, agar membantu dengan membeli akhbar yang diterbitkan, dan mengalu-alukan lebih banyak pelabur ke syarikat tersebut.

“Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, kerana Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, jika mahu bantu Utusan belilah akhbar kami, iklan dan langgan e-Paper Utusan. Kita akan cuba sebaik mungkin untuk sediakan berita yang relevan kerana itu tugas kita,” katanya.

Beliau turut menjelaskan parti politik UMNO tidak terlibat secara terus dalam operasi syarikat itu, dan fokus utama Utusan adalah wadah rakyat dan bukan lidah UMNO.

Sementara itu, mengenai Utusan berdepan kemungkinan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia, Abd Aziz berkata perkara itu tidak memberi kesan kepada syarikat, tetapi yang lebih membimbangkan adalah hebahan berita mengenai operasi Utusan akan ditutup semalam, telah menganggu-gugat pengurusan dan operasi syarikat itu.

Sementara itu Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Mohd Taufek Abdul Razak berkata, walaupun tiada tarikh tetap mengenai penyelesaian pembayaran gaji tertunggak dan VSS, namun beliau percaya jaminan yang diberikan pihak pengurusan akan selesai dalam tempoh dua bulan ini.

Jelasnya hasil perbincangan dengan Abd Aziz, pengurusan sedang dalam proses menjual aset iaitu kilang percetakan Utusan di Bangi berjumlah RM60 juta.

“Mereka janji kalau dapat jual aset di Bangi itu masalah gaji dan bayaran VSS akan selesai,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :