AGENDANASIONAL

Wakil rakyat perlu diberi latihan peka sensitiviti jantina

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Sesi kepekaan jantina perlu dijalankan, terutama bagi wakil rakyat yang dipilih dan dilantik supaya punca dan kesan keganasan terhadap wanita difahami bersama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, menyalahkan wanita untuk perilaku buruk lelaki adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.

“Kaum wanita perlu dilindungi daripada jenayah. Bagaimana pula kaum wanita disalahkan kerana menyebabkan berlakunya jenayah terhadap mereka?

“Kedua-dua kaum Adam dan Hawa mempunyai peranan dalam membangunkan negara. Kenyataan seperti ini tiada tempat dalam sebuah negara yang mendukung prinsip Malaysia Baharu,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dalam kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, walaupun beliau menyambut baik tindakan Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid menarik balik serta memohon maaf atas kenyataannya di Dewan Rakyat semalam, namun senator KEADILAN itu perlu lebih prihatin dan sensitif.

Katanya, lebih-lebih lagi ia membabitkan pendirian parti berhubung isu keganasan terhadap wanita, termasuk isu gangguan dan keganasan seksual.

“Para pemimpin politik termasuk wakil rakyat perlu memainkan peranan dalam memastikan kaum wanita malah lelaki juga, sentiasa dilindungi daripada jenayah seksual.

“Saya sememangnya terkejut membaca cadangan Mohamad Imran supaya undang-undang gangguan seksual diperkenalkan untuk melindungi lelaki daripada tergoda akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh menyebabkan mereka terjebak dengan jenayah seperti sumbang mahram, rogol, meraba dan pornografi,” katanya.


Pengarang :