AGENDAJENAYAH

Wanita rugi RM1,600 ditipu rakan

KUANTAN, 21 OGOS: Seorang wanita membuat laporan polis mendakwa dirinya ditipu rakan sendiri yang menggunakan nama seorang lagi kawan mereka untuk meminjam wang sebanyak RM1,600.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 32 tahun mendakwa sebelum itu dihubungi rakannya yang bernama ‘Yana’ pada 23 Februari lepas kerana mahu meminjam wang kononnya untuk membayar balik pinjaman bank.

Mangsa mendakwa ‘Yana’ mengarahkan wang itu diberi secara tunai kepada seorang lagi rakan (perempuan) mereka yang akan bertemu mangsa di rumahnya pada hari yang sama, sebelum berjumpa ‘Yana’ pada petangnya.

“Mangsa mendakwa telah terserempak dengan Yana pada 12 Ogos lepas dan memintanya untuk segera menjelaskan hutang itu yang sudah tertunggak lama, namun Yana menafikan ada membuat pinjaman tersebut.

“Mangsa terus menghubungi suspek dan difahamkan dia telah menggunakan nama Yana bagi mendapatkan wang daripada mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa cuba memberi peluang kepada suspek untuk menjelaskan hutang, namun tindakan suspek yang mendiamkan diri akhirnya mendorong mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar dan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang peniaga membuat laporan semalam mendakwa kerugian RM40,000 selepas diperdayakan sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat ‘Datuk’ pada Isnin lepas.

Mangsa, seorang lelaki, mendakwa diarahkan untuk bercakap dengan ‘pegawai polis’ itu bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram dan dadah atas namanya yang akan dibicarakan di Mahkamah Terengganu.

“Suspek difahamkan telah meminta mangsa untuk membuat pemindahan wang ke dalam akaun baharu yang diberikan bagi tujuan pemantauan Bank Negara Malaysia dan supaya wang itu tidak dirampas pihak berkuasa,” katanya.

Mangsa bagaimanapun mula berasa curiga selepas ‘pegawai polis’ itu tetap meminta dia untuk memasukkan lebih banyak wang ke dalam akaun berlainan.

– BERNAMA


Pengarang :