AGENDAJENAYAH

Warga emas rugi RM67,000 ditipu polis palsu

KUANTAN, 25 OGOS: Seorang pesara syarikat penghantaran mendakwa kerugian RM67,000 selepas ‘termakan’ helah pegawai polis palsu yang kononnya menjalankan siasatan terhadapnya bagi kesalahan judi dan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 69 tahun mendakwa dihubungi individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Inspektor Yong pada Isnin lalu, kononnya berkhidmat di Kuala Lumpur.

Mangsa berkata, mula berasa takut apabila Inspektor Yong mengugut mahu menghantar perintah Mahkamah Kuala Lumpur kepadanya selain turut membacakan beberapa akta yang dikatakan boleh digunakan terhadap dirinya.

“Suspek dikatakan telah menyambungkan panggilan kepada dua rakannya yang turut menyamar sebagai anggota polis dan memberitahu mangsa akan dipenjarakan atas kesalahan tersebut.

“Apabila panggilan disambung semula kepada Inspektor Yong, suspek mengarahkan mangsa untuk memindahkan simpanannya ke akaun lain, kononnya untuk siasatan Bank Negara dan akan dipulangkan dalam tempoh seminggu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang telah membuat beberapa transaksi pemindahan wang hanya menyedari ditipu semalam, setelah menceritakan kejadian itu kepada anaknya.

Susulan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh dekat sini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA


Pengarang :