Selangorkini
Seorang kanak-kanak berpakaian yang diperbuat daripada Jalur Gemilang bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang bersama orang ramai pada Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Parlimen Balik Pulau di SMK Bayan Lepas, pada 24 Ogos 2019. -fotoBERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Warga Malaysia harus bersatu sebagai rakan karib

CYBERJAYA, 25 OGOS: Semua warga Malaysia harus bersatu sebagai rakan karib kerana berkongsi harapan, impian dan tujuan yang sama iatu hidup sejahtera di negara bertuah ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Gobind Singh Deo berkata, semangat Hari Kemerdekaan ke-62 yang akan disambut tidak lama lagi boleh dijadikan landasan mewujudkan masyarakat bersatu padu serta saling menghormati ke arah melahirkan Malaysia yang bersih, aman dan makmur.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menyemarakkan rasa cintakan negara dengan memastikan Jalur Gemilang bukan sahaja dipasang di pejabat kerajaan tetapi juga dibangunan swasta dan premis perniagaan,” katanya pada program Merdeka Fun Ride 2019, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau pada program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu dibacakan oleh Ketua Setiausaka Kementerian Datuk Suriani Ahmad.

Program yang disertai oleh kira-kira 500 peserta daripada pelbagai kaum mewakili agensi di bawah KKMM serta wakil syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi penyiaran, pos dan kurier itu turut disertai Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak.

Gobind berkata, program itu berupaya memupuk semangat kerjasama serta setiakawan dalam suasana muhibah antara sesama agensi di bawah KKMM dan pemain industri.

Ia menjadi landasan penting mengeratkan antara satu sama lain, seterusnya mewujudkan budaya sihat dalam kalangan rakyat berbilang kaum sempena menyambut bulan kemerdekaan negara, katanya.

Sementara itu, Al-Ishsal ketika ditemui berkata penglibatan pelbagai kaum dalam program itu secara tidak langsung menunjukkan semangat setiakawan dan cintakan negara ketika masyarakat berdepan karenah di media sosial yang mencabar.

Beliau berkata selaku penganjur, SKMM ingin menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia tidak terkesan dengan isu-isu mencabar yang berlegar di media sosial dan semua rakyat cintakan keamanan.

Kami juga mahu tunjukkan bahawa kita semua adalah satu keluarga dan pemain industri telekomunikasi boleh bersama untuk negara, katanya yang mengiringi Suriani berkayuh sejauh 10 kilometer dalam program itu.

– BERNAMA


Pengarang :