AGENDANASIONAL

Warga Pakistan patah kaki lari serbuan imigresen

IPOH, 7 OGOS – Seramai 21 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam Operasi Bersepadu di beberapa lokasi di sekitar bandaraya Ipoh di sini semalam.

Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata, hasil maklumat orang ramai, operasi dilakukan selama lima jam bermula pukul 2 petang melibatkan 10 pegawai.

“Sebelas lokasi telah diserbu iaitu di beberapa pondok keselamatan, premis kediaman, bangunan kedai serta pusat refleksologi.

“Daripada 70 orang yang diperiksa 21 orang ditahan melibatkan lima lelaki warga Bangladesh (seorang lelaki dan empat wanita warga Indonesia), dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta lapan lelaki warga Pakistan dan kesemua mereka berusia antara 21 hingga 52 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat awal yang diterima, lokasi yang diserbu itu disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah.

Kamalludin berkata, semasa serbuan di sebuah kediaman empat tingkat, terdapat warga Pakistan berusia 25 tahun yang cuba melarikan diri dan nekad terjun dari tingkat tiga premis berkenaan sehingga menyebabkan lelaki itu patah di pergelangan kaki kiri.

“Ketangkasan pegawai operasi yang mengepung lokasi-lokasi terbabit telah dapat menangkis cubaan melarikan diri warga asing ini,” katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

-BERNAMA


Pengarang :