Selangorkini
EXCO SELANGOR

Warga Selangor bakal nikmati produk segar dari ladang, kilang September ini

SHAH ALAM, 21 OGOS: Warga Selangor berpeluang mendapatkan produk pertanian segar dari ladang dan kilang apabila lapan tapak pasar kekal menjual barangan tersebut dilancarkan menerusi program Selangor Agro Market (SAM) pada September ini.

EXCO Infrastruktur Dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, kesemua tapak pasar yang diwujudkan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu dibuka pada setiap Sabtu dan Ahad dengan harga jualan lebih menjimatkan berbanding di pasaran luar.

“Ini cukup unik kerana kita tidak akan bersaing dengan pasar tani, sebaliknya SAM ada pelanggan tersendiri melalui penjenamaan dan khemah baharu selain tempat yang sesuai.

“Peserta diwajibkan mengusahakan jualan di tapak berkenaan manakala produk dibawa mereka adalah langsung dari ladang selain tidak dibenarkan ada orang tengah yang menjalankan perniagaan di pasar terbabit,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, program SAM bermula pada awal tahun lalu membabitkan pelaksanaan 87 lokasi di sembilan daerah di Selangor dengan nilai jualan telah meraih sebanyak RM5.2 juta.

Program itu menawarkan beberapa aktiviti ‘touchpoint’ antaranya Program Jualan Secara Terus Dari Ladang dan Kilang produk berasaskan pertanian dengan menawarkan harga lebih rendah antara lima hingga 25 peratus.

Mengulas lanjut, Ir Izham berkata, pelaksanaan program itu sebagai pendekatan menyokong sektor penanaman, penternakan dan perikanan di Selangor, selain memastikan jualan serta pemasaran bergerak seiring dengan pembangunan industri pertanian lain.

“Kadangkala tanaman itu banyak tetapi tiada tempat untuk dipasarkan, jadi kita sedang memikirkan untuk melengkapkan rantaian supaya produk segar tersebut dari ladang serta sampai kepada pengguna di outlet sesuai dan praktikal kepada mereka,” katanya.

Difahamkan, objektif program SAM dilaksanakan bertujuan menambah outlet akses rangkaian pemasaran yang memberi peluang kepada agropreneur di peringkat pengeluaran menambah pendapatan.

Selain itu, ia juga sebagai pelan pemasaran untuk memasarkan hasil pertanian sekiranya berlaku lambakan (buah-buahan bermusim) di pasaran.


Pengarang :