Dr Siti Mariah menyerahkan sumbangan Kerajaan Negeri kepada ibu Mohd Shahridan, mangsa yang maut bersama isteri dan anaknya dalam kebakaran di Kampung Alah Batu, Slim River. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Waris mangsa kebakaran terima sumbangan Kerajaan Negeri

HULU SELANGOR, 20 OGOS: Kerajaan Negeri menghulurkan sumbangan wang tunai RM1,500 dan barang keperluan asas kepada keluarga mangsa kebakaran yang mengorbankan tiga nyawa, di sini kelmarin.

Sumbangan itu disampaikan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud kepada ibu bapa mangsa di lokasi kejadian kebakaran di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata, walaupun bantuan itu tidak dapat mengembalikan mangsa yang terkorban, namun ia diberikan sebagai tanda ingatan Kerajaan Negeri.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga mereka terus bersabar di atas pemergian Allahyarham.

“Saya yakin rakyat di Selangor turut merasai kehilangan tiga beranak ini apatah lagi perasaan keluarga mereka, namun kita sebagai orang Islam harus menerima ketentuan Allah SWT,” katanya kepada Media Selangor.

Pada masa sama, beliau turut memohon seluruh rakyat Selangor untuk bersama mendoakan kesejahteraan mangsa yang terkorban supaya dicucuri rahmat.

“Saya difahamkan punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan semoga keluarga ini terus tabah hendaknya.

“Malah, saya dimaklumkan mangsa suami isteri ini seorang yang baik, peramah dan aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, insyaAllah pemergian mereka diredhai Allah,” katanya.

Ahad lalu, tiga sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam kebakaran di kediaman mereka di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, Hulu Selangor.

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Mohd Sharidan Abdul Aziz, 29, Siti Rafini Mohd Rafiee, 27, dan anak mereka Rafiq Mohd Sharidan, 14 bulan meninggal dunia akibat rentung di bilik utama rumah terbabit.


Pengarang :