AGENDA NASIONAL

Wisma Putra: Tangguhkan lawatan ke Jammu dan Kashmir

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan tidak penting ke kawasan yang terjejas di Jammu dan Kashmir.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, nasihat itu dikeluarkan ekoran keadaan semasa.

Katanya, Malaysia sedang memantau keadaan di Jammu dan Kashmir kerana negara ini mempunyai hubungan yang rapat dan mesra dengan India dan Pakistan.

“Malaysia menggalakkan kedua-dua negara berjiran itu untuk berinterasksi semula dalam dialog dan rundingan bagi mengurangkan ketegangan yang berlaku dan mencari penyelesaian terbaik,” kata kenyataan itu.

Dilaporkan bahawa pihak berkuasa India pada Jumaat memberitahu pelancong supaya meninggalkan Kashmir kerana ‘ancaman keganasan’, manakala laporan media menyatakan 25,000 tentera dihantar ke wilayah Himalaya yang bergolak itu.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dan perkhidmatan, boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi di 50-M, Satya Marg, Chanakyapuri, 110021 New Delhi atau hubungi +911124159300 dan +919319150306 (selepas waktu bekerja).

“Alamat e-mel Suruhanjaya Tinggi ialah mwdelhi@kln.gov.my,” kata kenyataan itu lagi.

-BERNAMA


Pengarang :