AGENDANASIONAL

Worldwide Holdings tumbang tujuh ekor lembu korban

SHAH ALAM, 14 OGOS: Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasinya (KSR) menumbangkan tujuh ekor lembu sempena program ibadah korban perdana pada tahun ini di sini hari ini.

Menariknya, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan apabila kakitangan dan ahli keluarga syarikat terbabit bersama bergotong-royong melapah dan memasak daging korban berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, ibadah korban itu menjadi program tahunan sejak 15 tahun lalu bertujuan memberi ruang kepada warga
kerja menyertai dan melaksanakan ibadah itu.

“Pada tahun ini, KSR menyelaras program penyembelihan tujuh ekor lembu bagi ibadah korban dan aqiqah yang kemudian diagihkan kepada 10 buah rumah kebajikan di sekitar
Shah Alam.

“Bekalan lembu hidup yang gemuk dan sihat dipilih sendiri oleh pihak KSR bagi tujuan pelaksanaan ibadah korban,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program berkenaan di Ibu Pejabat Worldwide.

Norazlina berkata, program yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha itu juga memberi mesej penting kepada seluruh umat Islam untuk lebih menghayati sifat
pengorbanan tinggi bagi mencapai kejayaan yang diredhai.

“KSR mengambil pendekatan untuk meneruskan acara tradisi ini sebagai acara tahunan dan sebagai usaha murni warganya berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan selain dapat merapatkan ukhwah,” katanya.

Terdahulu, Worldwide barui-baru ini menyumbangkan sebanyak RM500,000 bagi pembelian lembu korban pada peringkat negeri.


Pengarang :