Selangorkini
Dato’ Bakhtiar Hussin. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

YIDE seru GLC, swasta, bantu Kompleks Anak Yatim Pulau Indah

KLANG, 19 OGOS: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan orang awam membantu mewafafkan sumbangan bagi pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah yang bakal didirikan hujung tahun ini.

Pengerusinya, Dato’ Bakhtiar Hussin berkata, selain kos pembinaan, kelangsungan kos operasi kompleks itu nanti amat diperlukan.

“Saya menyeru kepada semua tetamu yang hadir seperti GLC, pelabur, syarikat korporat dan swasta di negeri ini untuk turut sama membantu mewakafkan sumbangan bagi pembinaan ini.

“Selain sebahagian kos RM5 juta, kos operasi kira-kira RM60,000 sebulan turut diperlukan bagi memastikan kelangsungan asrama ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pembinaan kompleks itu bersama Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) dan Perbadanan Wakaf Selangor di sini.

Pada masa sama, Bakthiar berkata, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa pemilihan pelajar anak yatim yang akan ditempatkan di asrama itu nanti.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada CSSB di atas sumbangan RM5 juta bagi pembinaan kompleks ini dan sumbangan wakaf tanah 1.407 hektar,” katanya.

YIDE ditubuhkan di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) seawal 2011, selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melawat mangsa kejadian tanah runtuh membabitkan Rumah Anak Yatim Al-Taqwa, Hulu Langat.

Pada tahun ini, YIDE menyerahkan sumbangan kepada seramai 7,967 anak yatim di seluruh Selangor dan 15 rumah anak yatim dikelolanya dengan berjumlah lebih RM 1 Juta.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli berangkat hadir ke majlis berkenaan.

Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah berupaya menampung kira-kita 300 pelajar dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021.


Pengarang :