DYMM Sultan Selangor berkenan menyampaikan watikah gelaran Dato’ Diraja Selangor kepada Dato’ Zakaria Abdul Rahman dalam Pengurniaan Watikah Gelaran Dato’ Diraja Selangor, Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS, Setiausaha MAIS, Pendaftar Kanan, Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor (Wali Raja) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Zakaria dilantik sebagai Dato’ Diraja Selangor

SHAH ALAM, 21 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik bekas Dato’ Pengelola Dato’ Bijaya Diraja, Dato’ Zakaria Abdul Rahman sebagai Dato’ Diraja Selangor yang membawa gelaran Yang Dihormatkan Dato’ Sri Alam Diraja.

Pelantikan ini selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 38 (XXXVIII) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Pelantikan ini dilangsungkan dalam Istiadat Pengurniaan Di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Imam Besar Masjid Negeri membacakan doa sejurus selesai Pengurniaan Watikah Gelaran Dato’ Diraja Selangor, Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS, Setiausaha MAIS, Pendaftar Kanan, Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor (Wali Raja) disampaikan oleh DYMM Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pada istiadat sama, Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pula menerima watikah pelantikan sebagai Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pelantikan yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2020 itu selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 (ENPAINS 2003) di bawah Seksyen 11 (1) (d).

Enakmen terbabit menyatakan anggota majlis hendaklah tidak kurang lapan orang di mana lima daripada mereka hendaklah arif dalam agama Islam.

Baginda turut berkenan melantik bekas Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar sebagai Setiausaha MAIS bagi menggantikan Dato’ Bakhtiar Hussin yang bersara pada 18 Disember 2018.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris bergambar kenangan bersama penerima dalam Majlis Pengurniaan Watikah Gelaran Dato’ Diraja Selangor, Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS, Setiausaha MAIS, Pendaftar Kanan, Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor (Wali Raja) disampaikan oleh DYMM Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Dari kanan : Pendaftar Kanan, Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor (Wali Raja), Mohd Hafiz Ab Aziz, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Ahmad Shahir Makhtar, Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Zawawi Mughni, Pendaftar Kanan, Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam di Negeri Selangor (Wali Raja), Hazman Che Mohamed. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pelantikan itu selaras dengan EPAINS 2003 di bawah seksyen 16 (1) dan berkuat kuasa sehingga 16 Julai 2022.

Manakala Mohd Hafiz Ab Aziz dan Hazman Che Mohamed daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilantik sebagai Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Selangor.

Pelantikan ini selaras dengan ketetapan hukum syarak yang dinyatakan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di bawah  seksyen 28 (2).


Pengarang :