Penerima bergambar bersama Haniza Talha dan Datuk Azman Ismail sempena Sumbangan Zakat PLUS Bersama Penduduk PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya pada 17 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

Zakat RM2.77 juta untuk asnaf, fakir, miskin di Selangor sepanjang 2018

SUBANG JAYA, 17 OGOS: Penyedia perkhidmatan lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan wang zakat keseluruhan RM2.77 juta untuk diagihkan kepada golongan asnaf, fakir dan miskin di Selangor, sepanjang tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, bagi tempoh perniagaan sama, pihaknya memperuntukkan RM17 juta untuk diagihkan kepada golongan berkenaan di seluruh negeri yang berada di bawah kendalian syarikat itu.

“Antara negeri terbabit adalah Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

“Pengeluaran zakat ini dijalankan setiap tahun, malahan tahun lalu kita turut membuat perkara sama kerana sudah tentu kita mementingkan mereka yang berada di sepanjang jajaran PLUS,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada program Sumbangan Zakat PLUS Bersama Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di Dewan PPR berkenaan di sini, hari ini.

Datuk Azman Ismail. Foto FIKRI YUSOF/SELANGOKINI.

Hadir sama, EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Mengenai program hari ini, Azman berkata, seramai 300 asnaf dan fakir miskin yang berada di sekitar Ibu Pejabat PLUS menerima zakat membabitkan peruntukan RM150,000.

Katanya, setiap asnaf menerima sumbangan sebanyak RM500 yang sedikit sebanyak mampu meringankan beban ditanggung golongan berkenaan.

“Ini adalah sebahagian daripada zakat yang kami keluarkan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Ramadan lalu, jadi pengagihan secara langsung ini sudah mendapat kelulusan daripada LZS untuk diagihkan,” katanya.


Pengarang :