AGENDANASIONAL

Zakat Selangor buat laporan terhadap lelaki agresif

SHAH ALAM, 19 OGOS: Satu laporan polis dibuat oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) berhubung tindakan agresif seorang lelaki terhadap pegawai LZS, yang tular di media sosial, baru-baru ini.

LZS dalam kenyataan memaklumkan, laporan polis itu bertujuan menjaga keselamatan kakitangan dan pelanggan yang berurusan di cawangannya.

Katanya, LZS juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menjaga nama baik institusi zakat.

“Lelaki itu dan keluarganya adalah asnaf yang sedang menerima pelbagai bantuan zakat daripada LZS.

“LZS juga menafikan tuduhan berunsur fitnah yang ditularkan oleh lelaki berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, LZS memohon orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat dan merujuk terus kepada pihaknya untuk sebarang penjelasan.

Terdahulu, pada 15 Ogos lalu, lelaki itu datang ke Cawangan Zakat Selangor Klang Sentral dengan tujuan membuat semakan status permohonan rakannya yang turut bersamanya.

Tidak berpuas hati dengan jawapan pegawai LZS, lelaki itu terus bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba melakukan serangan fizikal kepada kakitangan di institusi itu.


Pengarang :