AGENSISELANGOR

Zakat Selangor tanggung rumah sewa anak yatim piatu

SHAH ALAM, 21 OGOS: Lembaga Zakat Selangor menanggung sepenuhnya bayaran rumah sewa dua beradik yatim piatu selepas mereka tiada tempat bergantung ekoran kematian ibu dan bapa.

Zakat Selangor dalam kenyataan berkata, sebelum ini mereka berdua hanya menumpang kasih dan menetap di rumah bekas anak murid arwah ibu-bapa mereka.

“Difahamkan arwah ayah dan ibu mereka sebelum ini mengajar di sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta sebagai pensyarah pengajian Islam.

“Kedua-dua beradik itu sudah terkapai menguruskan kehidupan mereka selepas wang simpanan orang tua mereka habis digunakan bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, kedua-dua anak yatim berkenaan disahkan layak di bawah asnaf fakir.

Katanya, selain menguruskan bantuan rumah sewa, Zakat Selangor juga menghulurkan bantuan lain seperti kewangan bulanan dan pendidikan.

“Zakat Selangor akan terus membantu mereka dan marilah kita doakan semoga ALLAH kurniakan kekuatan dan permudahkan urusan mereka,” katanya.


Pengarang :